;

Monday, December 13, 2010

Tok Cik

Tok Cik @ Atok sedikit terhibur dengan kepulangan cucu-cucu daripada Bumi Kenyalang. Tok Cik kesunyian setelah kembalinya ke rahmatullah nenek baru (nenek Kiah) sehari sebelum aidilfitri 1431H baru-baru ini. Kebetulan pula cucu-cucunya suka usik mengusik dengan mengejutkannya tak kira waktu. Cucu-cucu lain agak ketakutan, namun cucu Bumi Kenyalang ni tak makan saman. Ada peluang terpekik, terlolong, Tok Cik mereka.
Aiman lagi hebat, disini dialah yang bangun awal, mandi dan solat subuh. Lepas itu terus bersama Tok Cik ke aktiviti rutin dipagi hari. Dengan menaiki motorsikal, destinasi Tok Cik setiap pagi adalah Warong Semek Idi, tak jauh daripada Masjid Kampung Benting Lintang. Rupa-rupanya Aiman pun dah ikut jejak Tok Cik, pagi perkenakan dulu air milo dan nasi kerabu. Bukan itu sahaja karipap dan pulut lepa juga tak terlepas dingapnya. Kalah Tok Cik dibuatnya.
Balik dari warong, Tok Cik rehat seketika menanti anak-anak qaryah datang untuk mengaji al-Quran. Jam 12.30 Tok Cik dah bersiap untuk ke Masjid, untuk azan zuhur dan solat. Walaupun tugasan sebagai bilal dilakukan secara bergilir-gilir namun Tok Cik tidak melepaskan peluang untuk ke sana setiap waktu solat.
Balik daripada masjid, makan tengahari dan berehat seketika sambil menunggu anak-anak Qaryah datang untuk mengaji al-Quran sesi petang.
Jam 4.00 petang Masjid sekali lagi dijadikan destinasi yang dituju Tok Cik. Balik daripada masjid menghabiskan masa dengan anak-anak qaryah yang belum menamatkan bacaan.
Selesai kelas al-Quran, rehat sekejap. Jam 6.20 petang bersiap pula untuk ke Masjid solat maghrib dan isyak.
Pulang daripada masjid, makan malam, rehat dan ke tempat tidur.
Jam 4.30 pagi deringan jam loceng memecah suasana sunyi di rumah Tok Cik. Akhirnya Tok Cik bangun untuk bersiap sedia ke Masjid, solat subuh.
Begitulah rutin jadual kehidupan Tok Cik setiap hari.
Sebelum melelapkan mata Hanan & Afif mengambil kesempatan untuk mengusik Tok Cik. Mereka seronok melihat tindakbalas Tok Cik bila diusik. Sebenarnya Tok Cik pelatah orangnya. Apa lagi, bila terkejut keluar apa sahaja di mulut Tok Cik.
Lima ekor ayam serama dikorbankan Tok Cik buat anak, menantu dan cucu yang baru pulang.
Tok Cik memantau dan mengawasi bacaan anak-anak qaryah di pondok yang dibina khusus untuk proses mengaji al-Quran. Setiap hari kecuali hari Jumaat.

No comments: