;

Monday, December 13, 2010

Husnu Zan

Berbaik sangka, husnu zan, merupakan perkara mudah tapi susah untuk diamalkan. Sesiapa yang dapat menjadikannya habit, insyaAllah perjalanan hidupnya berjalan sebaik mungkin tanpa merasa keluh kesah dan sebagainya.
Buruk sangka, su' zan, amat merbahaya, apatah lagi dalam perhubungan antara manusia. Pendek kata tiada yang baik. Orang senyum tak boleh, orang masam tak boleh, orang tengok tak boleh, orang tak tengok pun tak boleh. Orang puji dia kata mengejek, apatah lagi kalau dikeji. Jadi semuanya tak kena. Akhirnya semua orang tak suka dia, semua orang dengki dengan dia. Tak ke susah namanya.
Berbanding dengan orang yang berbaik sangka. Orang senyum dia senyum, orang masam dia kesian, sambil mendoakan kebaikan takut-takut kawannya ada apa-apa masalah. Orang puji berterima kasih. Orang keji atau menegur, diterimanya dengan hati terbuka di samping memperbaiki kelemahan dan berterima kasih lagi atas kejian atau teguran kerana menyedarkan tentang kesilapan.
Buruk sangka boleh terpadam dengan baik sangka bahkan orang yang buruk sangka boleh tersungkur dan rebah dengan orang yang baik sangka.
Kata sorang teman "Orang bagi tahi, kita bagi bunga, bagi tahi bagi bunga, akhirnya bunga yang kita bagi menjadi subur akibat baja tahi yang diberi".
Bayangkan seseorang (si A) selalu menceritakan tentang keburukan kawannya (Si B). Baik yang dibuat buruk yang disangka. Namun kawan yang selalu menjadi mangsa asyik menceritakan tentang kebaikan diri pemangsa dan segala cerita-cerita tak baik dianggapnya baik. Suatu hari, si A meneruskan cerita dengan prasangka buruk, namun ada seseorang yang memberitahunya, yang kamu selalu menceritakan kebaikan si B tetapi si B selalu memuji dan memuja kamu. Apa perasaan kita sekiranya si A tu kita. Pasti muka sepuluh sen kelihatan terserlah di wajah kita.
Sebagai seorang muslim, kita telah diasuh untuk bersangka baik dengan Allah sejak kita kecil. Kita yang merancang Allah yang menentukan. Apabila ditakdirkan Ilahi kita menerimanya dengan hati penuh redha tanpa apa-apa prasangka buruk terhadap Ilahi. Jadi mengapa susah untuk kita terapkan sesama manusia. Fikir-fikirkan...

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat:12:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ .
Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
Khalifah Umar bin Khattab ra menyatakan: Janganlah kamu menyangka dengan satu katapun yang keluar dari seorang saudaramu yang mu'min kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahwa kata-kata itu mengandung kebaikan.

No comments: