Anda nak pergi ke dapur tetapi niat anda hanya sekerat jalan sahaja- adakah anda akan sampai ke dapur? Melainkan anda menukar niat barulah anda boleh sampai ke dapur.
Anda hendak ke Selekoh, Bagan Datoh, nak balik kampung, tetapi niat anda hanya sekerat jalan iaitu sampai di Sabak Bernam sahaja. Adakah anda akan sampai ke kampung anda? Begitu juga kalau nak ke Morib tetapi berniat hanya sampai Bandar Banting, tak kan boleh melihat pokok Ru dan Bukit Jugra.
Anda hendak makan nasi satu pinggan, tetapi berniat hanya nak makan setengah pinggan sahaja- boleh habiskah satu pinggan. Tak boleh, kalau anda tak menukar niat. Kalau sembahyang asar itu ditetapkan 4 rakaat, mana boleh berhenti dengan sengaja pada rakaat kedua. Sembahyang apa itu namanya?
Adalah lebih baik jangan dimulakan jika berniat sekerat jalan atau tidak mahu melakukan hingga selesai.Badan tak penat, imej dan keyakinan tidak terjejas. Hanya melainkan anda berniat untuk mengerjakan hingga selesai barulah anda memulakan. Jangan dimulakan selagi tak berniat dan berkeyakinan boleh mengerjakan hingga penghujung selesai.
Tanggungjawab anda berat. Komitmen anda pun berat iaitu sebaik sahaja memulakan hendaklah berusaha untuk menyelesaikan. Selagi anda tak bersedia untuk memikul tanggunjawab dan komitmen itu, jangan memulakan kerana anda juga yang susah akhirnya nanti.
Antara kesan atau akibat yang akan diperolehi jika suka melakukan kerja sekerat jalan ialah:
- Akan menjadi habit – sejenis habit yang akan hanya menyusahkan diri sendiri akhirnya.
- Imej akan terjejas teruk. Dan imej buruk ni akan tersebar, menyusahkan.
- Kepercayaan kepada kebolehan diri sendiri semakin menipis. Bila menoleh belakang, mengenang kerja-kerja yang tak pernah siap, akhirnya percaya bahawa diri sendiri tidak akan boleh menyiapkan sebarang kerja.
- Bila kerja separuh-separuh, upah pun separuh atau tak ada upah langsung. Keperluan tak pernah separuh-separuh, jadi dengan apa nak dibayar atau nak dibeli. Bukankah ini menyusahkan diri sendiri.
Jadi, jangan berangan angan untuk sampai, untuk memiliki, untuk memenuhi hajat anda selagi anda tidak berniat untuk mengerjakan hingga selesai. Sebaik sahaja anda berniat begitu bermakna anda sedang memprogram otak dan fizikal untuk tidak sampai ke matlamat.
Dan selalunya orang yang tidak pernah sampai ke matlamat ialah orang yang banyak cakap, terlebih cakap, terlebih kemahuan, terlebih angan-angan. Nak yang besar-besar belaka hingga terasa takut hendak memulakan. Bahkan kalau memulakan pun tak kan sampai kemana kerana dalam fikiran sudah diprogram untuk tidak melakukan hingga selesai disebabkan tidak percaya bahawa diri boleh melakukan hingga selesai. Ia berkait, terlebih cakap akan menyebabkan tak berani meneruskan dan tak berani meneruskan ada kalanya boleh menyebabkan terlebih cakap untuk menutupi kelemahan.
Dari pekerjaan yang sekecil-kecilnya, mulai hari ini hendaklah dikerjakan hingga selesai. Jadikan ia habit, sejenis habit yang membawa kesenangan. Jangan lupa didik anak anda supaya menyelesaikan apa yang dimulakan, satu penanaman habit yang dimulakan sejak kecil lagi.
Dipetik daripada Buku Susah Senang Razzi Armansur.
Tambahan sebagai renungan:
إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوي
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niatnya” Maksud al Hadis.
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
11 years ago

No comments:
Post a Comment