Perasaan belas kasihan akan lahir dari sekeping hati yang benar-benar bersih dari segala sifat tercela tanpa mengira bangsa atau agama. Kita lihat, terkadang manusia sanggup menghabiskan beribu ringgit untuk membantu sesama sendiri tanpa mengira warna kulit dan fahaman. Lebih menakjubkan lagi terkadang perasaan belas kasihan tidak akan terbatas sesama manusia bahkan ianya boleh lahir hatta membabitkan haiwan dan alam sekitar. Ada orang yang sanggup berjalan, mengembara dan mengorbankan harta dan tenaga demi menyelamatkan haiwan atau alam sekitar dan sebagainya. Tengoklah, apa-apa yang berlaku di sekeliling kita, betapa hebatnya apabila perasaan sebegini sudah sebati dalam diri. Ada orang menghabiskan sisa hidupnya dengan menyelamatkan ikan paus, menyelamatkan beruang kutub dan sebagainya. Tidak kurang juga yang sanggup berkongsi hati dan buah pingang demi kesenangan bersama dan banyak lagi pengorbanan yang ditonjolkan manusia hasil terbitnya perasaan belas kasihan di dalam diri.
Semakin hebat sekiranya perasaan ini disandarkan dengan keimanan terhadap Ilahi Rabbul Jalil, pasti rahmat dan berkat memayungi diri dari dunia sampai akhirat insyaAllah.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
من نصر أخاه بظهر الغيب تصره الله فى الدنيا والأخرة
"Sesiapa yang membantu saudaranya (menjaga nama baik dan kehormatannya) tanpa pengetahuan saudaranya maka Allah akan membantunya (menjaga nama baik dan kehormatannya) di dunia dan di akhirat".
Rasulullah bersabda lagi:
والله فى عَوْنٍ المرء ما كان فى عون أخيه
"Dan Allah selalu menolong orang selama orang itu selalu menolong saudaranya (seagama)"
Para cendikiawan barat tidak ketinggalan membicarakan tentang perasaan Belas Kasihan, sebagaiman pandangan salah seorang daripada mereka, William Shakespeare, " Belas kasihan yang manis adalah petanda kemuliaan sejati"
Sebagai panduan bersama Ayohngoh ungkapan sedikit coretan cerita yang di petik daripada buku 366 Esei Untuk Motivasi Diri, karangan Sidney Newton Bremer dalam usahanya untuk menyedarkan masyarakat tentang belas kasihan.
"Dalam kesukaran selama pertempuran di Frederickburg, ketika terjadi perang antara dua kekuatan yang saling bermusuhan. Dalam peperangan berkenaan bergelimpamganlah mayat dan orang yang tercedera dari kedua belah pihak. Dalam kehengitan saling berbalas tembakan itu, seorang tentera Persekutuan tersentuh oleh rintihan meminta air dari orang-orang yang cedera. Menyedari betapa hausnya orang-orang yang cedera dan nazak itu, tentera muda berkenaan mengisi penuh bekas dengan air segar dan dengan menghendap-hendap mengelak peluru musuh dan berbagai ranjau, ia masuk ke medan terbuka dan memberikan air kepada orang-orang yang tercedera dari kedua-dua belah pihak.
Para tentera lain dari kedua belah pihak begitu tersentuh oleh belas kasihan tentera muda berkenaan serta terkejut dengan keberanian yang ditunjukkan oleh pemuda berkenaan dalam desiran peluru yang begitu mengganas. Kejadian itu membuatkan tentera-tentera kedua belah pihak terpegun sehinggalah peperangan yang sengit itu terhenti lebih dari satu jam. Dalam kedamaian dan ketenangan itulah pemuda berkenaan semakin rancak dan semakin bersemangat membantu mereka yang cedera tanpa mengira kawan atau musuh. Pengorbannya ini membuatkan mangsa yang cedera dan nazak menjadi lebih aman."
Begitulah hebatnya apabila perasaan berkenaan menjadi sebati dengan kehidupan.
Jadi apa yang kita tunggu lagi? Ayuh kita sematkan di hati sanubari kita dengan sifat mahmudah berkenaan agar rasa simpati dan kasihan antara satu sama lain menjadi rutin kehidupan kita dan agar konsep Ta'awun, konsep saling bantu membantu, tolong menolong menjadi pegangan dan amalan, insyaAllah.
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
11 years ago

No comments:
Post a Comment