;

Sunday, May 17, 2009

Menjual Dosa

Suatu hari seorang lelaki tidak dikenali telah datang ke sebuah rumah buruk yang terletak di Luar Bandar. Setelah melihat-lihat keadaan rumah tersebut, lelaki itu meminta izin untuk masuk dan dipersilakan. Ternyata rumah tua itu didiami oleh seorang nenek.
"Apa khabar nek?" Tanya lelaki itu setelah memberikan salam.
" Alhamdulullah baik". Jawab nenek.
"Adakah nenek mengetahui hal Amirul Mukminin?" Tanya lelaki itu
" Semoga Allah tidak memberi kebaikan kepadanya" Kata nenek.
" Mengapa nenek cakap begitu?" Tanya lelaki itu.

Apa tidaknya, semenjak beliau menjadi Amirul Mukminin belum pernah beliau datang ke sini. Jauh sekali dari memberikan apa-apa bantuan kebajikan." Jawab si nenek.
"Mungkin dia tidak mengetahui keadaan nenek yang jauh dari pekan ini." Kata lelaki itu.
"Mana mungkin, sepatutnya seorang kepala Negara, mesti mengetahui keadaan rakyatnya walau di mana pun tinggalnya". Balas nenek.
Lelaki itu tertundukseperti memikirkan sesuatu tentang keterangan si nenek.
" Aku kesian kepada Amirul Mukminin, yang telah menzalimi nenek sekian lama. Mahukah nenek menjual kezaliman beliau kepada saya?." Kata lelaki itu dengan penuh simpati.
" Engkau jangan memperli aku yang sudah tua ini." Marah nenek.
" Betul nek, saya serius, tidak main-main. Bagaimana kalau saya berikan nenek dua puluh lima dinar untuk menebus kezaliman Amirul Mukminin itu?" Jelas lelaki itu.
"Kalau engkau benar-benar ikhlas, aku ucapkan terima kasih dan aku bersedia untuk memaafkan Amirul Mukminin." Jawab nenek.

Setelah lelaki itu menyerahkan dua puluh lima dinar kepada si nenek, tiba-tiba ada dua orang lelaki yang lain lalu di hadapan rumah tersebut, setelah mengetahui siapa yang ada di dalam, kedua-dua lelaki itu minta izin untuk masuk.

" Assalamualaikum ya Amirul Mukminin." Kata kedua-dua lelaki itu.
" Waalaikum salam." Jawabnya.

Terkejutlah si nenek, mendengar ucapan salam kedua-dua lelaki itu. Rupa-rupanya lelaki yang menjadi tetamunya sejak tadi adalah Amirul Mukminin Umar Al-Khattab.

" Maafkan saya wahai Amirul Mukminin. Rupanya saya telah memaki Amirul Mukminin di hadapan Amirul Mukminin sendiri. Maafkanlah atas kelancangan saya. Celaka saya." Kata si nenek sambil menangis.

" Nenek tidak bersalah, tidak perlu menangis. Semoga Allah tetap merestui nenek."

…Kisah ini di nukil daripada Himpunan Kisah-kisah Lucu tulisan A.K. Alang Jaafar.

Pengajarannya:-
1. Berhati-hatilah dalam menuturkan sesuatu agar segala ucapan atau tindakan kita tidak mengaibkan diri sendiri.
2. Belajar mengenali orang lain sebelum orang lain mengenali kita.
3. Berprasangka baiklah agar rahmat dan berkat Allah sentiasa bersama kita.
4. Apabila kita dilantik menjadi pemimpin, menjadi tanggungjawab menunaikan segala amanah. Bukan membuat janji bahkan mengotakan apa-apa yang sepatutnya. Bukan mengejar populariti tetapi mencari restu Ilahi.
5. Biar orang tidak kenal rupa kita asalkan orang kenal budi bicara kita.
6. Bersikap terbukalah dalam mengejar kecemerlangan diri.
7. Anggaplah kejian sebagai pendorong untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih cemerlang.
8. Usah berbangga dengan kemahiran sendiri kerana kemahiran orang lain mungkin lebih tinggi, bahkan berwaspadalah dengan kemahiran orang lain tanpa membiarkan kemahiran diri diperkotak katikan.

No comments: