;

Saturday, December 5, 2009

Salam Pengikat Ukhuwwah

Selamat tinggal bang……

Mungkin inilah yang ingin diungkapkan oleh seorang anak kecil terhadap seorang abang yang turut serta mengiringinya ke Lapangan Terbang Miri.

Sikecil akan berangkat pulang ke Semenanjung kerana mengikuti perpindahan bonda tercinta demi memberi peluang untuk si ayahanda menyambung pelajaran ke peringkat master.

Nak diungkap dengan kata-kata tidak berupaya, bukan pilu tetapi belum pun bisa menyusun kata-kata yang dimaksudkan. Kebetulan pula sikecil belum lagi pandai berkata-kata. Yang sikecil tahu bila ibu kata salam, kena salam. Bila bersalam pula mesti cium tangan tak kira dengan siapa.

Berkat didikan ibu dan bapa serta rahmat salam di dalam syariat Islam insyaAllah akan menyuburkan anak-anak dengan amalan saling menghormati antara satu sama lain. Apa lagi antara anak dengan ibubapa, orang-orang muda dengan yang berumur serta sikecil dengan sibesar atau simuda dengan situa.

Persoalannya berapa ramai yang mampu menerapkannya dalam kehidupan anak-anak bahkan dalam diri bapa-bapa atau ibu-ibu sendiri.

Kedapatan, ada pula yang segan silu bila disuruh untuk bersalam dengan seseorang. Terkadang , zaman anak-anak ni, bukan main semangat bersalam, jumpa orang ni salam, jumpa orang tu salam, (baik ucapan mahu pun menghulurkan tangan untuk bersalaman) bila dah besar, usahkan bersalaman, ucapan salam pun tak terkeluar dan kekadang tengok pun tak mahu.

Buktinya, cuba tanya guru-guru di sekolah. Sekolah menengah terutamanya. Semasa di Tingkatan Satu dan Dua, lambat jumpa guru (cikgu atau ustaz), bersalam dan cium tangan lagi. Namun bila dah naik tingkatan tiga atau empat, lihatlah apa dah jadi. Bukan nak bersalam nampak guru di depan rela mencari laluan yang lain untuk mengelak. Bila naik tingkatan lima atau enam bertambah-tambah lagi hebatnya. Bukan maksud Ayohngoh semua tetapi sebahagian besor, kata orang.

Kenapa? Mengapa?

Nak kata tak diajar, diajar. Nak kata tak dipraktik, dipaktik(ada dalam sukatan pelajaran lagi, untuk mata pelajaran agama). Yang peliknya sebahagian kecil yang lain boleh kekalkan amalan sedemikian. Hinggakan ada sebahagian mereka, bukan dah besar tetapi dah berjawatan pun masih ada yang bersalam dan cium tangan bila jumpa dengan guru-guru atau orang yang lebih tua.

Mengikut pandangan singkat Ayohngoh, agaknya anak-anak ni, mereka ingat mereka je yang semakin meningkat usia, orang lain tidak. Mungkin juga mereka hanya mengukur dari sudut pertumbuhan badan. Sebabnya semasa mereka di tingkatan satu atau dua mereka masih merasa kerdil dan guru-guru yang ada agaknya nampak tua-tua atau dah berumur. Bila dah naik tingkatan 3, 4, 5 dan 6 mereka rasa mereka dah besar, dan guru serta orang disekeliling mereka mungkin mereka rasa sama je. Tak berubah pun.

Apatah lagi saiz badan anak-anak ni cukup cepat membesar berbeza dengan guru-guru yang sebahagian tu agak terbantut tumbesarannya. Tambahan lagi semasa masuk ke tingkatan satu masih macam kanak-kanak tetapi bila dah tiga atau empat tahun berada di sekolah badan dah meningkat besor, mengalahkan guru-guru. Jadi rasa besarlah kononnya.

Hakikatnya, ada dua tiga orang guru di mana sekolah, apabila berdiri di dalam kalangan pelajar kekadang tidak dapat dibezakan mana guru dan mana muridnya. Itulah agaknya perasaan kerdil dahulu dah berubah. Ayohngoh rasa kalau mereka sedar yang orang lain pun semakin berumur rasanya mereka akan terus ingat dan sedar tentang hakikat sebenarnya.

Jadi marilah, kawan-kawan, ibu-ibu dan bapa-bapa juga tidak ketinggalan anak-anak semua kita berusaha dan berusaha untuk memperbetulkan keadaan sekarang yang semakin lama semakin menjadi-jadi. Hilang sudah perasaan belas kasihan sesama manusia, hilang sudah perasaan kasih sesama saudara dan hilang sudah apa yang di katakan jiwa sebagai manusia.

Untuk itu, marilah kita semaikan nilai-nilai murni dalam diri kita semua. Kita ada Allah yang Maha Kuasa, kita ada Rasul utusan Allah yang banyak menyediakan khazanah serta gedung ilmu yang wajib kita selongkari demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, insyaAllah.

Sebarkan, semaikan amalan salam agar kehidupan kita menjadi subur bersama berkat dan rahmat Ilahi. Firman Allah:

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا (٨٦)

Dan apabila kamu diberikan penghormatan Dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu Dengan Yang lebih baik daripadanya, atau balaslah Dia (dengan cara Yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. An-Nisa' : 86

No comments: