;

Saturday, December 5, 2009

Jangan Tak Merasa Banjir

Inilah yang dikatakan banjir kilat. Tak semena-mena hujan semalaman menyebabkan laluan ke Flat SMK Agama Miri di naiki air buat kali kedua dalam tempoh sembilan tahun. Beberapa penghuni flat berkenaan terbaksa membatalkan segala perancangan untuk keluar dengan mengurungkan diri di flat masing-masing sambil memerhati pergerakan air yang semakin lama semakin meningkat sehinggalah menenggelamkan bahu jalan yang memisahkan antara laluan dengan longkang.

Kalau di Pantai Timur itu perkara biasa bahkan tak akan jadi buah mulut orang tetapi di Miri, khususnya di sekolah kami amat memilukan kerana masing-masing takut untuk menyeberanginya. Takut mati keretalah, takut masuk air ke enjinlah dan sebagainya, namun ada juga sebuah dua kereta yang sanggup meredah demi ingin bertemu seseorang. Hajah Khamsiah dengan menggunakan Matrixnya, selamba sahaja mengharunginya. Abang Yunus kita, masuk berani dengan Saganya tetapi nak keluar dua kali tiga kali fikir dan akhirnya membatalkan sahaja niat di hati.

Yang kesiannya, pada hari ini juga 5 Disember 2009, hari keberangkatan pilang Al-Fadhil Ustaz Badrul Hisyam seisi keluarga ke kampung halaman. Ustaz Badrul akan melanjutkan pengajian di UKM dan isterinya Ustazah Asmawani akan melapor diri di salah sebuah sekolah menengah di Seremban sebagai lokasi kerjanya yang baru.

Ayohngoh tidak menyedari apa yang berlaku, awal-awal lagi turun untuk menjemput Ustaz Badrul ke airport. Pada mulanya terkejut juga dengan keadaan air, namun sahabat punya fasal diteruskan juga kerana merasakan air yang naik tu rendah sahaja. Datang ke halaman flat 1, adalah dua tiga orang kekawan sedang memerhatikan air dan berbincang tentang punca air serta bagaimana cara untuk menyelesaikannya. Kalah kontraktor Laku Management.

Setelah barang-barang dipindahkan ke dalam kereta pergi lagi kami meredah air yang terkadang mengecutkan perut juga apabila melihatnya, namun gerak hati masih memberanikan diri untuk meneruskannya.

Siapa check in barang di airport pulang lagi ke flat untuk mengambil Ustazah Asmawani seisi keluarga. Kali ni air diredah dengan selamba tanpa apa-apa kerisauan lagi tetapi kerisauan mula menjelma setelah kami sampai berhampiran dengan flat 1. Power stering kereta Ayohngoh seakan-akan tidak berfungsi sehingga tidak dapat membelok keselekoh sebagaimana biasa. Namun kerisauan hilang apabila sampainya kami ke hadapan flat 1.

Sebelum ke airport buat kali kedua pemandu SMKAM brother Jo sempat berpesan agar jangan terlalu laju, nanti air naik ke enjin. Ada masalah. Teringat Ayohngoh pergi dan masuk tadi memang minyaknya di tekan, kononnya untuk memecahkan air agar tak dalam.

Perjalanan mesti diteruskan sebab jadual pelepasan jam 11 lebih. Sekarang dan jam 10.15. Ayohngoh sekali lagi meredah air banjir kilat berkenaan bersama keluarga Ustaz Badrul. Kali ni cukup berbeza. Apa yang disebut rakan pemandu tadi mungkin akan berlaku. Sampai kami di hadapan rumah Ustaz Shahi dan Ustaz Hamzah enjin kereta dah jadi lain dan bebrapa kali enjin padam.

Masing-masing panik tetapi ketenangan perlu ditetap. Akhirnya dengan terbatuk-batuk dapat juga kami keluar darpada air banjir tadi. Kereta Ayohngoh masih terbatuk-batuk sehinggalah ke hadapan pondok kawalan keselamatan.

Kesian Ustaz Badrul dan isteri, rasa bersalah atas apa yang berlaku. Namun Ayohngoh tetap memberanikan diri untuk meneruskan perjalan sehinggalah kami sampai di airport dan semasa Ayohngoh ke tempat parking barulah enjin kereta ada perubahan ke arah yang lebih baik. Allah Maha Adil Lagi Maha Bijaksana. Kebaikan insyaAllah dibalas dengan kebaikan.

Yang penting rasa lega dan seronok kerana dapat membantu untuk kali terakhir seorang insan yang bergelar sahabat dan yang banyak berkorban untuk ketenangan dan kesenangan Ayohngoh.

Sebagai kenangan bersama juga buat tatapan sesiapa yang berminat dengan banjir kilat SMKAM pada pagi jom tengok gambar-gambar di bawah:


Air mula melimpah semenjak malam semalam

Pandangan daripada atas flat 1

Salah seorang mangsa sedang menyelamatkan basikal daripada dihanyutkan air. Sebelum dihanyutkan air baik dia dulu yang hanyutkan....

Semua air longkang dan parit melimpah ke laluan
Salah seorang mangsa banjir yang tak akan berpindah dan tak akan dipindahkan.
Air melimpah sehingga ke hadapan halaman rumah Ustaz Hamzah dan Ustaz Ahmad Shahi. Mereka sedang mananti arahan untuk pindah daripada pihak kawalan banjir SMKAM

Mula-mula, bukan main confidence lagi.
Masih meluncur, tiba-tiba.....

Enjin kereta terpadam, nasib baik, nasib masih menyebelahi kami, kereta masih bermaya dan selamat segala-galanya.
Alhamdulillah. Mungkin banjir tak nak suruh Ustaz Badrul dan keluarga pulang kut. Tapi apa pun mereka dah pulang. Kata orang, Jangan tak Merasa Kemeriahan Banjir....
Pengajarannya:
Jangan diingat tempat yang kontang tidak ditimpa banjir.
Air masa sikit kita boleh minum dan telan tapi bila dah besar kita pulak kena telan.Hati-hati.
Setiap pengorbanan ada rintangan, dan setiap rintangan insyaAllah ada keberkatan.
Persahabatan maknanya suatu penyerahan, jadi serahlah apa yang termampu demi persahabatan dan persaudaraan.
Setiap perpisahan pasti ada pertemuan sebagaimana pertemuan ada perpisahan... tunggu..




2 comments:

abzahidi said...

Betul gak..kalau api masa kecil jd kawan bila besar jadi lawan.air masa kecil buat hilang dahaga tp bila besar dia dahaga darah manusia (",)

yos lukman said...

salam ustaz... baru pernah tengok banjir kt smk agama. fikirkan takkan banjir kt area smk agama