Seawal 1.45 pagi Ayohngoh sudah bergegas untuk ke sekolah mamantau program sederap yang bermula semalam. Sampainya Ayohngoh di Foyer Pentadbiran di mana ianya dijadikan venue utama program kami, didapati peserta-peserta masih bersemangat dengan ditemani petugas semasa iaitu Ustaz Husni.
Melihat kesungguhan pelajar dalam memberi komitmen terhadap program al-Quran yang dianjurkan terdetik di hati ini tentang apa yang di sebut Tetamu Kehormat, Ustaz Ahmad Fauzi dalam perasmian pembukaan semalam. Kurang lebih maksud ucapannya " Kita membaca al-Quran bukan setakat berusaha untuk khatam tetapi kandungannya yang perlu di hayati. Apa guna khatam dua tiga belas kali kalau akhlak belum berubah, apa guna khatam bepuluh-puluh kali kalau ponteng masih dilakukan, apa guna khatam berkali-kali kalau merokok diperhebatkan dan kalau itu dan kalau ini.." Alangkah bertuahnya kalau anak-anak SMKAM ini menjadikannya sebagai suntikan kesedaran di samping kesungguhan memberi komitmen terhadap program al-Quran sebagini semoga lahir Generasi yang disebut sebagai Jailul Quran (جيل القران) yakni Generasi Al-Quran, iaitu generasi yang menjadikan al-Quran sebagai pedoman atau petunjuk, yang menjadikan al-Quran sebagai dasar untuk memulakan apa-apa tindakan atau menjadikannya sebagai the way of life.
Rasulullah s.a.w. apabila ditanya kepada Aisyah r.a. tentang akhlak baginda, lalu Sayyidatina Aisyah menjawab:كــان خلقــه القران Adalah akhlak baginda s.a.w. sepertimana akhlak yang terdapat di dalam al-Quran.
Kesungguhan dan komitmen anak-anak SMKAM dapat Ayohngoh ungkapkan di sini melalui gambar-gambar berikut:
Pukul 4.00 lebih Ayohngoh balik untuk bersahur bersama anak-anak tercinta. Harapannya anak-anak SMKAM dicucuri rahmat Ilahi bersama pengorbanan yang telah mereka berikan.
Di sekolah program sederap terus berjalan dengan baik walaupun sekali sekali terdengar suara teguran daripada guru-guru yang bertugas membetulkan bacaan anak-anak.
Tepat pukul 10.55 pagi anak-anak SMKAM berjaya menamatkan pusingan pertama tiga puluh juzuk dan ianya disambut meriah tanda kegembiraan semua peserta dan para pelajar lain. Kegembiraan ditonjolkan dengan sama-sama membaca tiga kul. Syabas dan tahniah Ayohngoh ucapkan.
Pembacaan dimulakan semula oleh kumpulan pertama sebaik sahaja surah al-Fatihah dihabiskan.
No comments:
Post a Comment