;

Monday, June 1, 2009

Fadhilat Berwudhuk

" Ala, biasa je tu, kalau tak buat pun tak pa. Kan kita dah solat 5 waktu. Sebelum solat tu pun kita dah ambil kan!! Susah nanti, basah. Nanti kena lap lagi. Kena bawa kain tuala pula setiap kali ke bilik air. Susah kan, kan..!!......" Itulah ungkapan yang kekadang meniti di bibir-bibir orang yang tidak memahami tentang betapa besarnya fadhilat wudhuk yang menjadi syarat kepada sahnya atau diterimanya sesuatu ibadah contohnya Solat yang menjadi tiang agama kita.
Di sini ayohngoh cuba mencari beberapa dalil dan bukti yang dapat menjelaskan kepada kita tentang kelebihan dan kekuatan yang ada pada ibadah wudhuk yang disyariatkan Ilahi kepada umat Islam selaras dengan pensyariatan solat.

Firman Allah:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

" Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali." Al-Maidah:6

Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang peri pentingnya wudhuk dalam menentukan sah batalnya sesuatu ibadah. Ianya dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tidak sah solat seseorang sekiranya ia solat tanpa berwudhuk".

Maka beruntunglah sesiapa yang dapat menjadikan wudhuk sebagai amalan yang sentiasa mendampinginya walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Samada semasa ingin beribadah atau membuat apa sahaja yang direstui Ilahi. Dengan kata lain beruntunglah sesiapa yang menjadi wudhuk sebagai satu cara hidup bermula dari bilik air sehinggalah ke bilik tidur. Ini bermaksud berwudhuk mengiringi hadas besar atau kecil sehinggalah ke bilik tidur bahkan untuk bersama isteri atau suami pun ianya amat dituntut bagi sesiapa yang inginkan keberkatan Ilahi sepanjag hayat.

Secara zahirnya bolehlah dinyatakan di sini wajah yang sentiasa dibasahi dengan wudhuk berbeza dengan wajah yang kurang dibasahinya apatah lagi kalau wajah yang tidak pernah disentuhinya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis baginda melalui sabda baginda:
انْتُمْ غُرُّ المُحَجَّلُوْنَ يَوْمَ القِامَةِ مِنْ اِسبَـاغِ الوُضُوْءِ
" Wajahmu akan bercahaya nanti dihari kiamat disebabkan kesempurnaan wudhuk mu "

Berwudhuk merupakan salah satu cara untuk melepaskan diri daripada dosa terhadap Allah subhanahu wataala sebagaimana sabda baginda s.a.w. yang bermaksud:
" Barangsiapa berwudhuk dengan baik dan solat dua rakaat tanpa memikirkan dunia ketika itu, maka dia akan keluar dari dosanya seperti di hari dia dilahirkan ibunya".

Manakala Saidina Umar r.a. pula menyatakan tentang kelebihan berwudhuk :
" Sesungguhnya wudhuk yang baik itu dapat mengusir syaitan darimu".
Kelebihan ini dijelaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:" Barangsiapa berwudhuk dengan baik kemudian menghadapkan pandangannya ke langit sambil berdoa (yang ertinya):" Aku bersaksi sesungguhnya tidak ada Tuhan selain Allah. Esa dia. Tidak ada menyerupai bagi-Nya. Dan aku bersaksi sesungguhnya Muhammad itu hamba dan utusan-Nya". Maka lapan pintu syurga dibukakan untuknya, dan dia boleh masuk dari mana-mana pun yang dia mahu".

Oleh itu rakan –rakan semua, marilah kita sama-sama merubah persepsi kita terhadap sesuatu perkara yang disyariatkan Ilahi. Walau pun kita nampak remeh tetapi di sisi Allah sudah pasti sesuatu kekuatan yang tersirat disebaliknya. Marlah kita sentiasa dan sentiasa basahi wajah kita dengan wudhuk agar ianya menjadi punca hadirnya rahmah dalam diri kita, insyaAllah.

Maksud hadis Rasulullah s.a.w:-

" Dari Abu Hurairah r.a. Bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersbda: Bila seseorang muslim atau mukmin berwudhuk, lalu ia basuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya semua kesalahan yang dilihat dengan dua matanya bersama air atau akhir titisan air wudhuknya. Maka bila ia basuh tangannya, keluarlah semua kesalahan yang dibuat oleh kedua tangannya bersama air atau akhir titisan air wudhuknya. Maka bila ia basuh dua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang dijalankan oleh dua kakinya bersama air atau akhir titisan air wudhuknya, sehingga ia keluar bersih dari segala dosa". (Riwayat Muslim dan hadis ini diambil dari Buku Fiqh Syafii Jilid 1 m/s 37)

No comments: