;

Tuesday, December 30, 2008

Salam Maal Hijrah Untuk Semua

Tidak Terkira Nikmat Allah
Jika DiHitung Dengan Jari
Selamat Menyambut Awal Hijrah
Jadilah Kita Hamba Yang Berbakti.

Semoga tahun ini menjanjikan seribu rahmat dan berkat untuk kita semua,

Buat renungan:- Kata seorang teman yang agak berpengalaman:-

" Apabila Allah cepat memakbulkan doa kita, itu tandanya Dia sayang kepada kita, apabila Allah lambat makbulkan doa kita, itu tandanya Dia ingin menguji kita, tetapi apabila Allah tidak makbulkan doa kita itu tandanya Dia merancang sesuatu yang lebih untuk kita. Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan kerana kasih sayang Allah sentiasa mendahului kemurkaanNya."

Selamat Menyambut Awal Hijrah.
كل عام وانتم بخير
Sama-samalah kita mengharapkan agar doa yang kita baca sempena ketibaan Awal Hijrah tahun ini diterima Ilahi baik makbulnya dipercepat atau dilambatkan Ilahi atau digantikan dengan yang lebih baik insyaAllah.
Lihatlah keunikan sebahagian doa yang disarankan untuk kita membacanya di awal tahun hijrah, (buat tatapan yang ingin menatapinya):-
وهذا عام جديد قد أقبل علينا نسألك العصمة فيه من الشيطان الرجيم وأوليائه وجنوده
والعون على هذه النفس الامارة بالسوء والإشتغال بما يقربنا إليك زلفى يا ذالجلال والإكرام

Yang bermaksud:
"Dan dengan ketibaan tahun baru ini, kami memohon kepada Mu agar memelihara kami daripada gangguan dan tipu daya syaitan yang terlaknat juga dari kuncu-kuncunya dan bala tenteranya, juga kami memohon kepada Mu agar memantapkan kami bagi menundukkan runtunan nafsu ammarah (nafsu yang mendorong ke arah kejahatan), kami juga memohon kepada Mu agar mencetuskan keinginan untuk melakukan kerja-kerja kebajikan bagi mendekatkan diri kepada Mu, ya Allah Yang Maha Agong lagi Maha Mulia."
Amin ya Rabbal Alamin.
Teramat rugi bagi sesiapa sahaja yang hanya menunggu dan menerima pertukaran tahun demi tahun tetapi perubahan tidak dimartabatkan. Perubahan yang dimaksudkan ialah penghijrahan yang sememangnya perlu dijelmakan dalam diri setiap individu yang bergelar muslim. Ini bertepatan dengan apa yang disabdakan baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
" Mukmin yang benar-benar beruntung ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini…"
Maka marilah kita berusaha dan berusaha dalam melakukan penghijrahan dari buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang lebih baik. Semoga dengan azam yang disemai untuk tahun ini beserta usaha dan ikhtiar kita semua bisa digolongkan Allah sebagai orang yang cemerlang dunia dan akhirat, juga sebagai orang yang diungkapkan Ilahi dalam firmanNya:
قد أفلح المؤمنون
Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman(almukmiun:1)

No comments: