;

Sunday, August 29, 2010

Sebelum Ramadhan Berlalu Pergi

Sebelum Ramadhan Berlalu Pergi
Ramadhan kini hampir meninggalkan kita. 20 hari bagaikan tak terasa. Pagi sibuk dengan tugasan, tengahari ada agenda tersendiri, petang pula sibuk dengan bazaar ramadhan, yang ni nak itu, yang tu nak ini akhirnya sebesar-besar meja makan di rumah, kehabisan ruang dek makanan. Malam pula mula keletihan akibat perut terlalu kenyang. Isyak digabungkan dalam terawih, 8 rakaat sudah diwitirkan, mengikut sunnah kononnya. Balik rumah makan lagi, sahur, hentam lagi. Rehat sekejap, akhirnya terlelap dalam kekenyangan. Subuhnya hampir-hampir digabungkan dengan dhuha.
Aduh.. aduh… dimana kita jika nak dibandingkan dengan Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., yang khatam al-Quran setiap malam, berbekalkan buah kurma dan susu untuk berbuka dan bersahur… aduh.. dimana kita…
Lihat sahaja di Masjid-masjid, awal ramadhan penuh dengan lautan manusia. Bila dua tiga hari semakin kelihatan sejadah-sejadah yang terbentang luas, orangnya entah ke mana. Kalau ramai pun waktu isyak dan lapan rakaat pertama terawih, akhirnya bertebaranlah. Yang sempat buat witir di rumah Alhamdulillah. Kalau tidak masya Allah. Nak jaga keihklasan kononnya akhirnya terlepas.
9 atau 10 hari lagi ramadhan akan berakhir. Persoalannya apakah 20 hari yang telah berlalu mampu memberikan kita rahmah yang disebut Rasulullah s.a.w“ awalnya Rahmah ”, Pertengahannya “mahgfirah” orang berpuasa kita berpuasa, orang berbuka kita berbuka. Apakah orang terampun dosanya kita juga terampun dosa kita. Selamatkah pula kita daripada golongan yang disifatkan Rasulullah melalui hadis baginda:
“رب صائم ليس له من صيامه الا الجوع والعطش”
Maksudnya: “Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat sesuatu pun dari puasanya selain lapar dan dahaga.
Disepuluh hari terakhir setiap ramadhan semua orang mengejar suatu malam yang disebut Ilahi sebagai lailatul qadar ليلة القدر yang sememangnya menjadi tonggak keistimewaan ramadhan di mana amalan padanya berlipat kali ganda ganjarannya sebagaimana yang diungkapkan Ilahi melalui firmanNya:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١)وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (٢)لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)تَنَزَّلُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ
(٤)سَلامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (٥)
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2. dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
3. malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);
5. sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Persoalan demi persoalan, adakah kita mampu merebutnya, kalau setakat berpuasa pun hanya sekadar lapar dan dahaga. Mampukah kita memperolehinya kalau permulaan ramadhan niqmah(نقمة) yang kita dapat, pertengahannya pula dosa yang kita peroleh.
Namun, ingatlah semua, (mhasabah) perhitungan yang kita buat sebagaimana ungkapan keluhan di atas merupakan salah satu cara memuhasabah diri yang harus dijelmakan dalam diri. Sekurang-kurangnya kita menyedari akan kekurangan kita sementara Ramadhan masih ada bersama dengan kita.
Sesungguhnya Allah Maha Penyayang lagi Maha Pemurah. Sedetik kesedaran yang Allah berikan amat bermakna bagi kita. Tinggal lagi kita nak teruskan dengan kealpaan atau sebaliknya.
Pintu taubat masih terbuka luas untuk hamba-hamba Allah yang ingin merubah diri ke arah ketakwaan.
Jadi, ayuh kita memperbaiki diri, membetulkan langkah serta menyusun strategi dengan memperbanyakkan amal kebajikan semaksima mungkin demi merebut keampunan Ilahi selagi Ramadhan masih sudi dihayati dan selagi Ramadhan masih setia menanti walau tinggal beberapa hari lagi.
Paling penting ikhlaskan hati, tuluskan peribadi, kepada Ilahi Rabbul Izzati, biarkan kealpaan yang berlalu pergi, fikirkan apa yang sedang menanti, buatlah amal sepenuh hati, lailatul qadar perlu dicari, rahmah dan berkat daripada Ilahi, sebelum Ramadhan berlalu pergi.
Akhirnya, jom hayati hadis Rasulullah s.a.w. sebagai penguat jati diri:-
"كَانَ النَِّبيُّ (ص) إِذاَ دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْياً لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ".
Maksudnya : " Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga " . ( Hadis riwayat bukhari )

1 comment:

WanShila said...

terima kasih ats ingatan yg sungguh bermakna...

semoga puasa kita diterima Allah SWT