;

Wednesday, June 10, 2009

Buat Betul Biar Betul-Betul

Apabila melihat beberapa hasil yang ayohngoh sendiri lakukan atau orang kekawan termenung juga ayohngoh seketika. Ada yang amat puas dan ada juga yang nak senyum pun segan, kadang-kadang kita buat seumpama ambil nama sahaja atau kata orang Sarawak " Jangan Sik Polah, Bah" yakni buat sesuatu dengan ala kadar sahaja tanpa perancangan dan strategik yang sepatutnya. Akhirnya bila dah dapat hasil, kalau itu dan kalau ini….

Dalam ayohngoh rehat-rehat hari ni, terbukalah ayohngoh buku Sakit Pun OK yang terletak di atas meja dan terbacalah satu topik yang agak sesuai untuk ayohngoh kongsikan bersama. Ianya cukup sinonim dengan apa yang ayohngoh fikirkan. Topiknya berbunyi " Buat Betul Biar Betul-Betul".

"Apabila kita hendak melakukan sesuatu pekerjaan atau perkara, kita mesti pastikan dahulu apa yang akan kita kerjakan itu adalah perkara betul. Sekiranya kita tidak tahu sama ada perkara itu betul ataupun tidak, perlulah kita bertanya pada yang arif. Bertanyalah hukum halal atau haram pekerjaan itu. Salah atau tidak mengikut undang-undang Negara. Maklumlah kalau kita terbuat perkara yang tidak betul nanti kita juga yang akan menanggung akibat buruknya.

Ramai di antara kita yang memang selalu berfikiran bijak. Berfikir dahulu sebelum ingin melakukan perkara tersebut. Tahniah kalau begitu. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur barulah kita hendak berfikir. Namun demikian, memastikan perkara yang ingin kita buat itu sahaja betul belum memadai untuk kita. Kita kenalah buat benda yang kita sudah pastikan betul itu dengan betul-betul. Ya, kita kenalah melakukan perkara yang betul itu dengan betul-betul. Nanti kalau kita melakukannya dengan cara sambil lewa dan main-main, maka perkara yang betul itu akan jadi tak betul……. ( petikan ini diambil daripada buku Sakit Pun O.K., karangan Sahrulazmi Sidek muka surat 249-250)

Itulah rakan-rakan semua, bila buat sesuatu yang betul mesti kena buat betul-betul. Kalau dibuat tak betul apa yang betul maka pasti ia akan menjadi tak betul, sama dengan kita buat yang tak betul dengan betul-betul maka ia juga akan jadi betul-betul tak betul…. Fikir-fikirkan…

Moralnya:-
إن الله يحب احدكم إذا عمل عملا أن يتقنه
" Sesungguhnya Allah lebih suka sesiapa sahaja di antara kamu yang apabila melalukan sesuatu pekerjaan dilakukannya dengan bersungguh-sungguh (penuh ketekunan) "

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
" Setiap diri akan terikat dengan apa yang dikerjakan olehnya " (al-Muddassir-38)

No comments: